Isnin, 5 September 2016



Tulisan ini telah disiarkan dalam suara keadilan dalam malaysia kini
pada 24/02/2015 dahulu

 MENGGALANG BARISAN BERSATU

Dalam politik tidak ada musuh abadi. Dalam politik yang wujud hanya kepentingan abadi. Perjuangan adalah pertempuran untuk mencapai dan mengkotakan cita-cita abadi. Dalam perjuangan : Musuh kepada musuh kita adalah kawan kita. Permusuhan TIDAK berterusan. Setiakawan hanya dalam kancah perjuangan.

Jika terlupa falsafah ini ; jika tidak menggunakan strateji berasaskan falsafah ini maka perjuangan akan gagal. Perjuangan yang gagal adalah perjuangan yang tidak sampai kepada apa yang dicita. Kegagalan membawa malapetaka yang hebat.

Saksi dan rasakan : malapetaka yang telah menimpa negara kita ini semenjak penjajah British mengundurkan diri pada tahun 1957. Malapetaka ini kita rasakan hingga ke saat ini. Malapetaka ini lahir akibat dari kegagalan Kaum Kiri, Kaum Nasionalis, Kaum Progresif dan Kaum Agamawan untuk menggalang perserikatan Barisan Bersatu/United Front yang luas untuk mendobrak musuh yang sama.
Sebagai contoh : mari kita lihat sejarah Kota Melaka – kota metropolis dan kota ekonomi kurun ke 13 – satelah ianya jatuh ke tangan penjajah. Sejarah merakamkan tentang percubaan dari Acheh, dari Johor , dari Majapahit untuk melawan Portugis dan Belanda. 

Kita juga membaca fakta sejarah bagaimana Acheh menyerang Belanda. Kita membaca bagimana Raja dan rakyat Johor berjuang menyerang Belanda untuk menawan Melaka. Tetapi kedua-dua Kerajaan Melayu ini tidak menggalang Barisan Bersatu. Malah dua negera Melayu ini beramok dan beperang sesama sendiri. Hasilnya Belanda TIDAK tewas.