Ahad, 1 Mac 2015



Tak Habis-Habis Najib Kena Tolak

Ketika majlis angkat sumpah Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi pada Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditolak (disenggol) dengan kuat isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sehingga insiden itu menjadi viral di media-media sosial.
Rosmah dianggap tidak wajar berbuat demikian kepada suaminya yang juga perdana menteri, lebih-lebih lagi di acara penting yang melibatkan tetamu kenamaan daripada seluruh dunia itu.
Tetapi dalam minggu lalu, Najib terus menerima tolakan yang berterusan lagi. Ketika harta peninggalan Tun Abdul Razak cuba dikaitkan dengan perbelanjaan mewah keluarga Najib, terutama melibatkan isterinya Rosmah dan anak tirinya Reza Aziz, keempat-empat adik Najib tampil dengan kenyataan bersama menolak tanggapan sedemikian.
Mereka menyatakan, Tun Razak terkenal sebagai pemimpin yang berintergriti tinggi serta berjimat cermat sepanjang kehidupannya dan spekulasi mengenai harta peninggalan bapa mereka yang dikaitkan dengan kemewahan adalah tidak wajar sama sekali.
Setelah ditolak (disenggol) isterinya, Najib ditolak pula keempat-empat adik-beradiknya.
Pada Rabu lalu pula, mesyuarat kabinet menolak suntikan modal sebanyak RM3 bilion lagi kepada 1MDB berikutan ramai ahli kabinet tidak bersetuju dengannya.
Jika berita ini benar dan ia juga belum dinafikan lagi kerajaan sehingga kini, ia juga bermaksud penolakan sebahagian menteri-menteri kabinet terhadap Najib sendiri.
Ini kerana 1MDB adalah syarikat pelaburan yang ditubuhkan Najib dan menjadi anak emasnya selama ini. Syarikat itu diletakkan di bawah Kementerian Kewangan di mana Najib juga adalah menteri kewangan, selain sebagai perdana menteri.
Penolakan ini sebenarnya amat memalukan Najib kerana beliau seolah-olah sudah ditolak dan tidak dipercayai lagi menteri-menteri kabinet yang dilantiknya sendiri.
Jika di negara lain atau Najib seorang pemimpin yang bermaruah dan berintergriti, episod penolakan ahli-ahli kabinet ini seharusnya menyebabkan beliau berasa malu untuk terus mengempuki kerusi perdana menteri yang didudukinya sekarang.
Semalam pula, kajian Merdeka Center mendapati penolakan rakyat semakin tinggi terhadap kepimpinan Najib dengan hanya tinggal 44 peratus saja lagi berbanding 48 peratus sebelum ini.
Setelah ditolak (disenggol) isteri, ditolak adik-beradik dan ditolak menteri-menteri kabinet, Najib juga ditolak majoriti rakyat yang makin tidak berselera dengan kepimpinannya.
Maknanya, dalam waktu terdekat ini sudah ada empat kes penolakan diterimanya.
Jika mengikut kepercayaan orang Cina pula, angka 4 bermakna "mati". Dalam episod kena tolak ini, Najib disasar tiga kali dengan angka 4 iaitu empat adik-adik beradiknya, penolakan rakyat yang menjadikan sokongannya hanya tinggal 44 peratus dan empat kes penolakan dalam waktu terdekat ini.
Seorang rakan Cina berkata, ia dengan itu bermaksud "mati-mati" atau akan "mati" dengan perlahan-lahan.
Kesian Najib...tak habis-habis kena tolak. Mungkinkah "matinya" juga sudah semakin hampir? – shahbudindotcom.blogspot.com