SEJAUH MANAKAH KITA SETIA DENGAN KEBENARAN?
Hari itu, semua yang hadir bersedih. Ahli keluarga mereka
telah meninggal dunia dan menunggu untuk dikebumikan. Tiba-tiba, penutup
keranda ditolak dan ‘si mati’ bangun keluar daripadanya. “Apa yang kamu cuba
lakukan ini? Aku belum mati!” kata ‘si mati’ berkenaan. Semua yang berada di
dalam majlis itu tergamam. Sepi. Terkejut. Tidak lama, salah seorang yang hadir
itu berkata, “Sahabat, sesungguhnya Imam dan Doktor sudah pun mengesahkan
bahawa engkau mati. Maka engkau adalah si mati yang telah mati!” Lalu ‘si mati’
itu dikebumikan. Hidup-hidup!
KECELARUAN
KOGNITIF DALAM BERAGAMA
Hari ini, keberagamaan kita sangat rencam. Andai
kerencaman itu dipandang dalam rangka realiti yang lebih besar, kita melihat
arus bertentangan yang lebih membimbangkan. Mereka yang mencabar agama,
mencabar agama dengan soalan-soalan mereka yang sangat materialistik. Manakala
yang membela agama, membela agama dengan jawapan-jawapan mereka yang sangat
mistik.
Golongan pertama,
mahu mengulang kembali soalan Bani
Israel kepada Musa ‘alayhi al-Salam bahawa
“kami tidak akan sekali-kali beriman
kepada (seruan)mu sehinggalah kami dapat melihat Allah secara nyata (petikan
surah al-Baqarah ayat 55).
Golongan kedua pula,
mahu agama Islam ini diimejkan
sebagai agama yang berkata,
“lembu berkahwin dengan durian, memberanakkan
sebuah kereta, dan itu tidak mustahil jika Allah berkehendak. Ia tidak mustahil
bagi Allah, Tuhan kami yang Maha Berkuasa!”
Dalam kecelaruan beragama semasa, saya berpendapat ia
bukan lagi isu ‘agama’. Ia adalah isu kognitif, psikologi, psikiatri. Soal
tingkah laku akal yang semakin OKU. Akal yang diberi oleh Allah untuk
meluhurkan interaksi manusia dengan wahyu, sama ada telah digunakan secara
berlebihan, atau langsung tidak digunakan kerana ‘lebih mementingkan agama’,
atau digunakan secara salah.
Apabila masyarakat beragama dengan trend yang salah,
mereka diserang pula dengan idea-idea yang mencarik-carik akal untuk
menjustifikasikannya, lalu masyarakat Malaysia dilanda dengan apa yang disebut
sebagai Religious Cognitive Dissonance .
Ia bukan sepatutnya bencana ke atas umat Islam.
Agama kita tidak bermusuh dengan akal. Agama kita tidak
memisterikan misteri. Agama kita ada penjelasan yang baik untuk perkara yang
paling rumit, tanpa menimbulkan tekanan kepada akal yang sejahtera untuk
menggarapnya sebagai sebuah kepercayaan.Namun itulah yang berlaku.Kebelakangan
ini.
Teringat saya kepada penjelasan berikut:
“Sometimes people hold a core belief that is very strong.
When they are presented with evidence that works against that belief, the new
evidence cannot be accepted. It would create a feeling that is extremely
uncomfortable, called cognitive dissonance. And because it is so important to
protect the core belief, they will rationalise, ignore and even deny anything
that doesn’t fit in with the core belief.” ― Frantz Fanon, Black Skin, White
Masks
Terjemahan:
“Adakalanya masyarakat berpegang dengan sebuah
kepercayaan yang bersifat usul, dengan begitu kuat. Apabila mereka dikemukakan
dengan bukti yang menunjukkan hakikat yang bertentangan dengan kepercayaan itu,
bukti baru itu tidak dapat diterima. Ia mencetuskan satu perasaan yang
amat-amat tidak selesa, dan ia dikenali sebagai percanggahan kognitif
(cognitive dissonance). Dan disebabkan oleh peri pentingnya kepercayaan yang
usul itu dilindungi, mereka cuba merasionalkan, mengabaikan malah menafikan apa
sahaja yang tidak sesuai dengan kepercayaan yang usul itu”
Antara kualiti perkataan dan kualiti penyebutnya, mana
satu usul, mana satu yang hendak dan boleh dikompromi?
APABILA AGAMAWAN BERLAGA PEDANG
“Bantulah kami yang mahu belajar agama ini”
“Kasihani kami”
“Jangan kelirukan
kami”
"Mengapa biarkan kami begini”
Ini menjadi keluhan demi keluhan yang mewarnai
status-status Facebook apabila status di atas bertemakan agamawan berlaga
pedang.
Untuk menghilangkan kekeliruan itu, kita tanya kembali
diri masing-masing, apa yang kelirunya?
Allah ‘Azza wa Jalla telah menjadikan kita telinga untuk
mendengar. Dengar pula dengar betul-betul. Bukan dengar 2 saat, merengek 2 jam.
Dua telinga, mulut pula satu.
Ada hikmahnya!
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai
kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka
itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah
orang-orang yang berakal sempurna. [Al-Zumar 39: 18]
Mereka yang beroleh petunjuk bukan mereka yang hanya
dengar satu ikut satu. Ia tidak realistik. Kita hidup dalam alam yang tidak
begitu. Golongan yang beroleh petunjuk adalah golongan yang mendepani pendapat
yang seribu, yang rencam, tetapi mendepaninya dengan proses mendengar yang
disebut sebagai YASTAMI’ŪN (يستمعون).
Yastami’un itu di dalam bahasa Arab, termaktub di atas
wazan yafta’il atau yafta’ilun yang memberi maksud, melakukannya secara
bersungguh-sungguh (الإجتهاد و الطلب).
Ertinya, mendengar dengan baik, beri masa yang cukup
untuk mendengar dan tidak secara kompulsif baru dengar sedikit sudah mahu
berkata-kata.
Dengar pula, dengar apa yang diperkata. Al-Qawl. Bukan
dengar baju, dengar topi, dengar muka, atau dengar bahasa.
Sebaliknya dengar makna. Makna di dalam kata. Dengar
hujah! Sudah dengar, ikutlah yang terbaik. Jangan terpesona dengan apa sahaja
faktor, selain faktor apa yang dikata.
NASRETTIN HOCA DAN NILAI SERBAN
Suatu hari Nasrettin Hoca tiba di sebuah kampung. Seperti
biasa, sambil menunggang keldainya. Penduduk kampung berpusu-pusu hadir
menyambut ketibaannya, dengan membawa kitab.
“Kamu mahu apa?” tanya Nasrettin Hoca.
“Kami mahu mengaji dengan tuan!” kata penduduk kampung.
“Kamu tidak kenal aku. Bagaimana kamu tahu aku banyak
ilmu atau tidak?” soal Nasrettin Hoca lagi.
“Serban tuan besar!” jawab orang kampung.
Nasrettin Hoca mencabut serbannya dan meletakkan serban
itu di atas kepala keldainya. Beliau berkata, “Nah, belajarlah dengan keldaiku.
Serban beliau besar!”
MENGAPA KELIRU DALAM MENILAI?
Serban, jubah, ijazah, universiti, kumpulan, aliran,
bahasa, rupa, hatta ‘agama’ sekali pun, tiada yang berkonflik dengan KEBENARAN.
J
ika manusia paling kufur kepada Allah, menyebut sesuatu
yang BENAR, terimalah ia sebagai BENAR.
Kebenaran yang diungkap oleh manusia paling kufur kepada
Allah. Kufur kepada Allah satu bab, kebenaran tetap kebenaran.
Jika manusia paling banyak sujud kepada Allah dan
menangis kerana-Nya, menyebut sesuatu yang DUSTA, terimalah ia sebagai DUSTA.
Pendustaan yang diungkap oleh manusia yang paling banyak
sujud kepada Allah dan menangis kerana-Nya.
Sujud kepada Allah satu bab, pendustaan tetap pendustaan.
Persoalannya ialah, sejauh manakah kita SETIA DENGAN KEBENARAN?
- Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan