Kemuka Rayuan Di
Saat Akhir, Apa Muslihat Anwar?
Tindakan
keluarga Anwar Ibrahim memohon pengampunan Diraja kepada Yang Dipertuan Agong
pada saat-saat akhir hari ini bagi hukuman penjara lima tahun yang sedang
dijalaninya, tidak syak lagi merupakan kejutan yang tidak disangka-sangka
kepada semua orang.
Sebelum ini
beberapa pemimpin PKR, termasuk Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution juga
menyatakan Anwar tidak bercadang untuk memohon pengampunan, sebaliknya kekal
dengan pendirian tidak bersalah atas pemenjaraan yang dikenakan terhadapnya.
Sehubungan
itu, menjelang berakhirnya tempoh akhir mengemukakan rayuan hari ini, PKR telah
menyatakan kesediaan untuk menghadapi pilihanraya kecil Permatang Pauh yang
bakal diadakan nanti.
UMNO juga
mengharapkan Anwar tidak mengemukakan rayuan dengan menghebohkan bahawa ianya
merupakan tindakan yang memalukan kerana ia dikatakan bermaksud beliau mengakui
semua kesalahannya.
Lebih dari itu, UMNO yang mungkin tidak
meletakkan calon di Dun Chempaka berikutan kematian Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat,
ternampak lebih ghairah untuk pilihanraya kecil Permatang Pauh di mana bukan
saja ramai pemimpinnya sudah bercakap mengenai pilihanraya itu, bahkan peguam
Shafee Abdullah juga sudah pun "turun padang" berceramah ke kawasan
itu.
Bagi UMNO,
bertanding di Permatang Pauh adalah medan untuk menunjukkan keberanian manakala
tidak bertanding di Chempaka adalah tanda berbuat baik dan ingin
bercanda-candaan dengan Pas.
Tetapi
dengan Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Nuha muncul di Istana Negara
petang ini bagi mengemukakan rayuan, semuanya jadi tersangkut dan kelam-kabut.
Rayuan ini difahamkan dikemukakan atas nama
keluarga dan bukannya atas nama parti berdasarkan tiga alasan iaitu prinsip
keadilan diketepikan, Anwar dizalimi dengan fitnah dan ketiga kerana berpegang
semua pertuduhan adalah konspirasi politik.
Dengan petisyen rayuan ini dikemukakan,
bermakna kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh belum boleh diumumkan
sehingga ada jawapan mengenainya. Jika setahun baru ada keputusan, bermakna
dalam tempoh itu tiadalah pilihanraya kecil akan diadakan.
Ia juga bermaksud Anwar akan terus kekal
sebagai Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh sehingga ada
keputusan sebaliknya selepas itu.
Walaupun
ramai yang beranggapan dengan mengemukakan petisyen rayuan ini bermakna Anwar
mengaku bersalah atas perbuatan liwat yang dihadapkan kepadanya, tetapi ia
tidak semestinya bermaksud demikian.
Mengemukakan
petisyen kepada Yang Dipertuan Agong adalah sebahagian daripada proses menuntut
pembebasan setelah semua proses mahkamah dilalui dan ia tidak bermakna suatu
bentuk pengakuan bersalah. Adalah rugi jika peruntukan yang dibenarkan oleh
Perlembagaan ini tidak dimanfaatkan.
Lagi pula,
tiga alasan yang dikemukakan sebagai asas mengemukakan rayuan itu bukan saja
boleh diterima, bahkan bertepatan dengan pendirian Anwar selama ini.
Setelah petisyen ini dikemuakan, kini
terpulanglah kepada Yang Dipertuan Agong sama ada mahu menerima atau
menolaknya. Begitu juga berapa lama keputusan mengenainya mahu dibuat.
Namun, semua ini akan terus menghangatkan
percakapan politik kedua-dua belah pihak iaitu BN dan PR mengenainya.
Berbanding jika tidak mengemukakan petisyen dan kedudukan Anwar sebagai Ahli
Parlimen digantikan dengan orang lain yang mungkin menyebabkan dirinya tidak
lagi penting selepas itu, sebaliknya sekarang ini Anwar kekal dianggap sebagai
ketua yang boleh memberi pelbagai arahan dari dalam penjara.
Pertikaian
mengenai siapa Ketua Pembangkang untuk menggantikan Anwar secara automatik
tidak berbangkit lagi.
Sementara itu, dengan tertangguhnya
pilihanraya kecil Permatang Pauh ini, apakah pula pendirian UMNO dalam
pilihanraya kecil Dun Chempaka tidak lama lagi? Kekal tidak bertanding atau
bakal berubah fikiran?
Apakah juga
dengan adanya rayuan ini dan beserta dengan kemungkinan Anwar dibebaskan atas
pertimbangan Yang Dipertuan Agong, ia turut berjaya meredakan banyak ketegangan
dalam PR, terutama antara Pas dan DAP sekarang ini?
Di ketika
yang sama, oleh kerana Najib terus ditekan daripada dalam UMNO dan bekas
Perdana Menteri, Mahathir Mohamad terus kritikal terhadap pentadbirannya,
petisyen rayuan ini juga menimbulkan semula persepsi adanya "ehem
ehem" antara Najib dengan Anwar sebagaimana yang banyak diperkatakan
sebelum ini.
Apa pun,
permohonan petisyen rayuan di saat-saat akhir tetap dilihat sebagai
"strategi luar kotak" yang difikirkan oleh Anwar dari dalam penjara.
Anwar nampaknya tetap berjuang dan tidak pernah mengaku kalah.