DEMI NEGARA, DEMI RAKYAT, PAS PERLUKAN
REFORMASI
Tidak banyak yang boleh saya ulas mengenai
Multaqa' Ulama PAS yang berlangsung baru-baru ini. Kerana saya melihat Multaqa
itu tidak lebih daripada himpunan melepas kemarahan kumpulan yang disebut
sebagai Ulama dalam PAS. Tidak ada resolusi yang merakyat, tidak ada
perbincangan yang kritikal demi negara, yang tertonjol hanyalah sikap sebenar
golongan berserban dalam PAS yang gemar mensyaitankan orang yang tidak
sepandangan dengan mereka.
Oleh itu saya lebih gemar untuk berbicara
mengenai masa depan PAS dan perkara yang perlu dibuat bagi memastikan parti
Islam ini terus bertahan dalam arus politik nasional.
Pemenjaraan Anwar Ibrahim serta
pemergian pemimpin agung PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) semestinya
memberikan kesan besar kepada perjalanan Pakatan Rakyat terutamanya PAS. TGNA
adalah individu yang cukup keras mempertahankah maruah PAS daripada usaha
segelintir individu yang mahukan PAS bergabung semula dengan UMNO.
Saya berani katakan usaha ini sememangnya
wujud tambahan pula baru-baru ini Bekas Timbalan Presiden PAS Ust Nasharuddin
Mad Isa mengesahkan bahawa beliau telah diarahkan untuk bertemu dengan pimpinan
UMNO bagi memastikan usaha penggabungan ini terus berlaku.
Pengkhianatan dalaman sebegini perlu segera
ditangani oleh kepimpinan Parti jika mahukan PAS terus relevan sebagai
pendokong utama gabungan Pakatan Rakyat.
PAS DAN MASA DEPAN MALAYSIA
PAS adalah sebuah parti yang paling lama
ditubuhkan di malaysia. Oleh itu PAS seharusnya menjadi contoh rujukan buat
parti-parti lain khususnya yang bernaung di bawah Pakatan Rakyat. Tetapi
malangnya PAS bukan sekadar gagal menjadi contoh bahkan lebih malang PAS
dilihat sebagai beban yang banyak menyumbang konflik dalam Pakatan.
PAS memerlukan kesegaran agar pergerakannya
mampu seiring dengan perkembangan dunia yang serba canggih ini. PAS memerlukan
Kepimpinan yang mampu menghasilkan idea-idea 'brand new' seterusnya memimpin
politik baru yang berteraskan ilmu dan moral.
Kejatuhan Terengganu dan Kedah sewajarnya
dijadikan medan untuk PAS bermuhasabah secara ikhlas dan bersungguh-sungguh,
justeru disusuli dengan iltizam untuk berubah. Kekalahan di dua negeri ini
seolah-olah membenarkan dakwaan yang mengatakan PAS hanya pandai berceramah
tetapi tidak mampu memimpin. Bahkan pemergian TGNA juga meninggalkan tanda
tanya besar mengenai survival PAS di Kelantan. Ramai pihak yang sudah mencongak
bahawa hayat PAS di Kelantan akan berakhir seiring pemergian TGNA sebagai ikon
Umara dan Ulama.
PAS PERLU SEGERA REFORMASI
Ramai yang memuji kegemilangan PAS ketika
di bawah pimpinan Almarhum Ustaz Fadhil Noor sebagai Presiden. Pada ketika
itulah PAS mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi kerusi Parlimen yang
paling banyak sekaligus merampas Terengganu daripada Barisan Nasional.
Tetapi amat mengecewakan apabila momentum
kecemerlangan itu seperti gagal diteruskan oleh kepimpinan PAS hari ini. PAS
bukan sahaja bermasalah dengan rakan komponen dalam Pakatan, malah konflik
dalaman sesama ahli juga seperti tidak terbendung. Fitnah ahli sesama ahli dan
pimpinan sesama pimpinan sudah kerap kali berlaku. Liqo’ dan Usrah yang
sepatutnya menjadi tempat untuk bermuhasabah dan menambah ilmu telah bertukar
menjadi tempat melemparkan hasad dengki dan adu domba.
Permasalahan ini perlu segera diperbetulkan
sebelum menjadi barah yang bakal meranapkan PAS secara keseluruhan. Matlamat
serta fokus perjuangan PAS harus dikembalikan. Saya yakin PAS akan kembali
seperti dulu dan lebih utuh sekiranya yang mengemudi PAS kelak lebih bersikap
terbuka dan berfikir diluar kerangka konservatif.
PAS memerlukan pemimpin yang mampu
meletakkan PAS kembali menjadi sandaran utama Pakatan Rakyat. Kepimpinan
tertinggi Parti seharusnya bijak dalam menyusun prioriti perjuangan agar segala
konflik dapat ditanggapi secara berkesan.
Saya merasa sedih apabila melihat
kepimpinan parti yang seharusnya menjadi penyelesai konflik, tetapi gagal
mengawal emosi sehingga keluarlah kenyataan yang mampu merisikokan perjuangan
PAS dan Pakatan Rakyat. Amat mengecewakan apabila pimpinan PAS terlibat dalam
perang mulut antara pimpinan Pakatan secara terbuka sehingga masalah tersebut
dihidu oleh masyarakat. Hal ini sudah pasti bakal mendatangkan signal negatif
kepada masa depan Pakatan Rakyat.
Sekali lagi, kekalahan PAS di Terengganu
dan Kedah serta masalah dalaman PAS yang berlaku ini sepatutnya mampu membuka
mata dan pemikiran ahli PAS bahawa PAS memerlukan sebuah reformasi dalam
kepimpinannya.
Ahli PAS perlu pastikan dalam muktamar akan
datang ini, PAS akan diterajui oleh kepimpinan yang mampu mengembleng seluruh
kekuatan PAS bagi memastikan kejayaan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU14 nanti.
Saya sebagai aktivis PAS yang selama ini
memberi sepenuh qudrat untuk memajukan jemaah ini, yakin dan percaya bahawa
hanya dengan perubahan tampuk kepimpinan, segala kemelut dalaman akan dapat
diselesaikan sekaligus meletakkan PAS kembali menjadi parti harapan bukan
sahaja untuk Pakatan Rakyat, tetapi juga untuk rakyat malaysia.
PERUBAHAN TERLETAK KEPADA AHLI PAS.
AIMAN ATHIRAH AL-JUNDI
KETUA PENERANGAN
KETUA PENERANGAN
DEWAN MUSLIMAT
PAS MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan