Penjarakan Anwar
rosakkan Najib lebih teruk dari Dr M
Hukuman penjara
terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Persekutuan jika masih tetap
berpegang kepada sabitan kes liwat hanya akan menjejaskan Barisan Nasional
(BN), bahkan mungkin lebih teruk daripada ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad
yang menjadikan ketua pembangkang itu sebagai musuh, lapor The Edge Review hari
ini.
Memenjarakan Anwar
hanya akan menyebabkan BN kehilangan undi kerana rakyat Malaysia dilihat sudah
penat dengan permainan kerajaan terhadap ketua pembangkang dalam tempoh 16
tahun ini, di mana kes liwat terbarunya juga berlaku ketika penentangan ahli
politik pembangkang dan badan lain terhadap penggunaan Akta Hasutan.
"Dalam
suasana ini, keputusan bersalah Anwar hanya akan menyebabkan ketua pembangkang
itu dilihat sebagai syahid politik di peringkat antarabangsa dan seterusnya
menjejaskan imej Malaysia di luar negara di mana ia sudah terkesan sejak
kebelakangan ini kerana pendakwaan besar- besaran kerajaan melumpuhkan ahli
politik pembangkang dengan menggunakan akta drakonian itu," memetik dari
artikel The Edge Review bertajuk, "Hounding Of Anwar Ibrahim takes a toll
on Malaysia."
Anwar sedang
menanti keputusan Mahkamah Persekutuan bagi rayuan membatalkan sabitan liwat
terhadap bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Mahkamah Tinggi
yang membicarakan kes ini melepaskan beliau, namun Mahkamah Rayuan pada Mac
tahun ini mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.
Dalam rayuannya
kepada mahkamah tertinggi, pihak pendakwa juga memfailkan rayuan balas untuk
memanjangkan lagi hukuman penjara.
Majalah digital
mingguan itu berkata sekiranya Anwar dipenjarakan, ia akan menyaksikan
peningkatan sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di kalangan ahli
Umno.
Ia juga akan
menyebabkan Pakatan Rakyat berdepan masalah, di mana The Edge Review mendakwa
perikatan parti sedang bergelut untuk mengekalkan penyatuan masyarakat dalam
isu agama dan kaum.
Bagaimanapun,
dengan memetik penganalisis ia berkata, dengan memenjarakan Anwar, ia umpama
pemimpin itu sanggup berbuat apa sahaja demi memperbaiki imej politiknya yang
tercalar di kalangan rakyat Malaysia dan tidak mustahil menjadi lebih teruk
daripada apa yang dilakukan Dr Mahathir.
Ini kerana Najib
juga berdepan dengan penolakan sokongan dari dalam Umno, tambahan pula parti
itu bakal mengadakan perhimpunan agung tahunan hujung bulan ini.
Najib diserang
beberapa veteren parti, terutama Dr Mahathir dan bekas menteri kewangan Tun
Daim Zainuddin apabila kedua mereka menyalahkan Najib atas penolakan Umno.
Dr Mahathir juga
dilihat begitu lantang mengkritik polisi kerajaan di bawah pentadbiran Najib.
The Edge Review
berkata Umno kini berdepan dengan pergelutan kelangsungan yang menyaksikan
kehilangan sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Meskipun dapat
mengekalkan majoriti di parlimen, namun kalah undi popular kepada Pakatan.
Orang Melayu mula
meninggalkan Umno pada tahun 1998 apabila Anwar dipecat dari jawatan timbalan
perdana menteri dan menteri kewangan dan seterusnya pendakwaan kes liwatnya
yang pertama.
Sejak itu, hampir
dua dekad penganalisis melihat pendakwaaan Anwar sebagai satu kes serius dan
insiden malang bagi Malaysia, kata The Edge Review.
"Terlalu
banyak kerosakan berlaku dalam sistem kerana kempen tersebut," memetik
daripada kenyataan komentar dan pengkaji politik Bridget Welsh.
"Meskipun
Umno dan Barisan Nasional menafikan kritikan mereka menggunakan Akta Hasutan,
namun pokoknya ia membuktikan kepada Anwar pendakwaannya itu kerana ketakutan
Umno dan melihatnya sebagai ancaman terbesar untuk mereka terus ditampuk
kuasa," tambahnya.
Sabitan Mahkamah
Persekutuan akan dipantau pelabur antarabangsa kerana wujudnya kebimbangan
mengenai tadbir urus dan demokrasi bagi negara Asia seperti Thailand, Singapura
dan Indonesia selain Malaysia. –TMI