Hanya Umno, elit Melayu berisiko jadi Red Indian
Ahli panel forum ajuran DAP malam tadi bersetuju bahawa hanya Umno dan
golongan elit Melayu yang berisiko diancam dan bakal menjadi 'Red
Indian' seperti di Amerika Syarikat.
Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata kajian menunjukkan Melayu merasa terancam kerana kesan daripada perang psikologi.
Beliau mendakwa bahawa Umno telah memainkan perang psikologi itu sehingga bangsa Melayu benar-benar rasa terancam.
“Tetapi minda mereka (Melayu) telah menerima perang psikologi yang
dibawa Umno sehingga mereka merasakan mereka sememangnya terancam,”
katanya.
Katanya, ekoran perang psikologi itu wujud badan bukan kerajaan (NGO)
pelampau yang menakut-nakutkan orang Melayu dan tentang kedudukan Islam
di negara ini.
Bercakap dalam forum bertajuk ‘Adakah Melayu dan Islam diancam’ malam
tadi, Husam berkata keadaan itu akan berterusan selama Umno memerintah
Malaysia.
Sebaliknya, tegas Husam, Melayu tidak terancam memandangkan kerusi
Parlimen Melayu akan tetap kekal majoriti meskipun Pakatan Rakyat
mengambil alih kerajaan.
“Sekarang dari 222 kerusi, majoriti 52 kerusi lebih adalah Melayu, kita
tidak boleh tukar kerusi, tiada siapa yang ada kuasa tukar kerusi
kecuali dengan persempadanan pilihan raya.
"Apa yang PERKASA dan bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid
Mohamad paling gerun, bukan Melayu menjadi Red Indian, tetapi Umno yang
menjadi Red Indian,” kata Husam lagi.
Katanya, menurut kajian Merdeka Center, sebelum ini perasaan Melayu rasa
terancam cuma 26 peratus pada 2008 dan meningkat kepada 55 peratus pada
2014.
Mengulas kenyataan Abdul Hamid supaya PAS bergabung dengan Umno bagi
mengelakkan orang Melayu terpinggir seperti Red Indian, Husam membidas:
"Pada pendapat saya, lebih lama Umno memerintah Malaysia, lebih cepat Melayu akan jadi Red Indian."
Sementara itu, Sasterawan Negara, A Samad Said berkata fenomena Melayu
dan Islam terancam datang secara “bermusim” iaitu ketika pilihan raya
dan perhimpunan agung Umno.
“Sebelum ini, ia sudah timbul. Mereka tanya saya, adakah Melayu terancam.
"Saya jawab sejak lima dekad yang lalu, semua menteri sebelum ini adalah
orang Melayu, timbalan perdana menteri, kementerian dalam negeri,
menteri besar dan kebanyakan ahli parlimen adalah Melayu.
“Selain itu kita ada, Raja Melayu dan Tentera Melayu. Jadi dengan
kekuatan yang kukuh, apakah alasan untuk menyatakan bahawa orang Melayu
terancam?" soalnya.
Beliau yang mesra dipanggil Pak Samad berasa hairan kerana yang sepatutnya berasa diancam dan terancam adalah kaum bukan Melayu.
Beliau turut menjelaskan selama 57 tahun, negara ini hanya dipimpin golongan bangsawan kecuali Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu, pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari pula berkata
kedudukan Melayu dan Islam kini lebih selamat berbanding sebelum ini.
Ini kerana, katanya, kebanyakan pindaan perlembagaan yang melindungi
Bumiputera dan Islam memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di
Parlimen dan juga memerlukan persetujuan daripada Majlis Raja-Raja.
“Jadi, kembali kepada soalan sama ada Melayu dan Islam terancam, saya
fikir tidak. Cuma pemimpin yang memerintah selama ini gagal menjalankan
tanggung jawab mereka,” katanya. -mk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan