Mahathir, Daim tidak setuju TPP
KUALA
LUMPUR - Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa Malaysia tidak
memerlukan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), iaitu perjanjian
perdagangan bebas antara 12 negara, termasuk Malaysia dan Amerika
Syarikat.
"Bagi saya TPP tak perlu. Tak ada TPP pun kita dapat bangunkan negara kita, jadi negara maju.
"Jadi
apa perlunya TPP? Itu pendapat saya. Jadi kalau kerajaan tak nak terima
pendapat ini terpulanglah kepada orang ramai sama ada bersetuju dengan
kerajaan atau tidak," katanya selepas Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak
Kuala Lumpur 2014, semalam.
Mahathir,
dalam temu ramah eksklusif dengan Sinar Harian pada Julai 2014 berkata,
Malaysia tidak akan mempunyai keupayaan sama dengan negara maju untuk
mempertahankan diri jika syarikat antarabangsa mencabar dasar kerajaan
di tribunal antarabangsa, seperti dibenarkan di bawah peruntukan
Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) dalam TPP.
Pendirian Mahathir itu dikongsi bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin.
Daim
berkata, beliau tidak bersetuju keputusan kerajaan mahu menandatangani
TPP kerana ia akan memberi persaingan yang agak sukar kepada negara.
“Saya
ingat banyak lagi pihak tidak setuju. Pertamanya kerana ia dilakukan
untuk negara-negara besar yang membangun dan syarikat besar, justeru
menyukarkan (Malaysia) untuk bersaing.
“Keduanya
apabila kita terlibat dengan perjanjian ini, kerajaan perlu melakukan
dasar ekonomi terbuka dan ia memudahkan segala perkara masuk ke negara
ini,” katanya kepada media, semalam.
Beliau berkata, segala kajian mengenai perkara itu juga perlu didedahkan kepada semua pihak berkaitan sebelum keputusan diambil.
“Tetapi bila saya minta hasil kajian tersebut, mereka tidak bagi. Sepatutnya ia perlu dibincangkan bersama.
“Benda
kalau baik jangan disembunyikan. Jika tidak baik pun jangan
diselindungi, kerana akhirnya rakyat akan tahu juga,” katanya.
Beliau mencadangkan isu TPP dibawa ke Parlimen dan dibentangkan kepada semua wakil rakyat agar mendapat persetujuan semua.
“Minta pandangan wakil rakyat. Ia perlu kerana melibatkan kepentingan masa depan rakyat,” katanya.
TPP,
yang kini dalam proses rundingan akhir, dikritik banyak pihak kerana
pelaksanaannya dikhuatiri menyebabkan harga ubat-ubatan di Malaysia
meningkat.
Ia
juga dibimbangi menjejaskan keupayaan kerajaan membuat dasar bagi
kepentingan rakyat apabila syarikat antarabangsa dibenarkan mencabar
dasar kerajaan yang menyebabkan kerugian kepada mereka di tribunal
antarabangsa melalui ISDS, termasuk dalam isu kesihatan dan pencemaran
alam sekitar.
Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengeluarkan kenyataan kelmarin
bagi memaklumkan rundingan TPP yang bermula pada 2010 kini memasuki
peringkat akhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan